Isnin, 5 Januari 2009

Permulaan..

Aku berasa terpanggil untuk menulis pengalamanku sebagai seorang penagih. Aku bukanlah seorang penagih dadah, tetapi penagih bahan lucah. Hampir 8 tahun aku bergelumang dengan perbuatan keji ini, namun kurasakan sudah tiba masanya untuk kuberhenti. Ketagihan sudah mula menguasai hidupku, sehinggakan memberi kesan buruk, bukan pada aku seorang, bahkan pada mereka yang kukenali. Hanya penagih sahaja yang memahami bagaimana peritnya menjadi seorang penagih.

Blog ini aku hasilkan atas dasar terinspirasi daripada penulisan-penulisan blog berbahasa Inggeris tentang perjalanan merawati ketagihan, yang kuturuti di alam maya ini. Aku mulai sedar, ketagihan ini bukanlah kualami seorang diri sahaja, hakikatnya ramai lagi. Namun, yalah, lumrah seorang penagih, semestinya malu untuk menceritakan perihal ketagihan. Di tapak blogspot ini, aku masih belum temui penulisan blog seorang penagih yang sebangsa denganku. Andai sudah ada yang mulai, kongsikanlah alamat blog anda. Jika belum ada, aku yang akan mulakan.

Satu perkara yang ingin aku tegaskan di sini, yakni pendirian seorang penagih (bahan lucah/dadah/arak/semualah..). Kami tahu halal dan haram dalam agama. Kami turut berasa jijik dengan perbuatan kami. Walaubagaimanapun, sudah namanya ketagihan, apabila rasa gian datang, hilanglah terus kewarasan. Pesanan bagi kalian yang mengenali mana-mana penagih (baca:semua), janganlah cepat menghukum kami. Andai anda sendiri yang mengalami ketagihan, barulah anda tahu peritnya saat melawan rasa gian. Hakikatnya, kami memerlukan sokongan, bukan kutukan.

Alamat blog ini ialah ID yang pernah kugunakan untuk menyertai group yang menyediakan bahan-bahan lucah. Atas dasar yang berbeza, aku gunakan kembali ID ini sebagai kebangkitan semula untuk melawan tabiat buruk aku.

Pesanan kepada semua penggemar video blue, sama ada korang nak bergelumang dengan ketagihan seks korang, atau mulakan perubahan dalam hidup. Aku sendiri sudah tidak sanggup untuk hilang kawalan dalam diri, sebagaimana sebuah robot yang telah diprogramkan.

AYUH! MARI PUTUSKAN BELENGGU!!